JAWAPAN CEO PERODUA BERHUBUNG KRITIKAN JURUTERA JERMAN | KUALA LUMPUR Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mematuhi sepenuhnya piawaian keselamatan domestik yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia menerusi kementerian dan pelbagai agensi berkaitan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh berkata semua produk dan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat mengutamakan keselamatan.
Aminar berkata demikian sebagai menjawab dakwaan seorang blogger yang menggunakan nama Wolf Vaupel bahawa model Perodua Myvi dan Alza berisiko tinggi kepada pelanggan.
Vaupel dalam paparan bertarikh 10 Mac 2015 mendakwa kluster instrumen swanyala yang ada pada kedua-dua model tersebut adalah sangat berbahaya.
Menurut blogger itu, panel instrumen swanyala tersebut boleh mengelirukan pemandu untuk beranggapan bahawa lampu besar kenderaannya dalam keadaan menyala.
Kami ingin menjelaskan bahawa berdasarkan pertanyaan yang dibuat kepada pihak berkuasa dan juga syarikat insurans, tiada kaitan antara kluster instrumen swanyala dengan kemalangan jalan raya pada waktu malam, kata Aminar.
Beliau juga berkata ciri kluster instrumen swanyala itu turut terdapat pada kenderaan jenama antarabangsa lain.
Aminar berkata syarikat juga hairan dengan serangan Vaupel yang hanya ditujukan kepada Perodua.
Hakikatnya, generasi pertama Myvi iaitu bagi tempoh 2005-2011 mendapat pensijilan Euro 4 memandangkan Perodua dieksport ke UK sebelum ini. Sejak itu juga kami melakukan penambahbaikan terhadap ciri-ciri keselamatan untuk pelanggan kami, katanya.
0 Response to "JAWAPAN CEO PERODUA BERHUBUNG KRITIKAN JURUTERA JERMAN"
Post a Comment