Kedah – Seorang pengawal keselamatan mendakwa berjaya merakamkan satu objek terbang tidak dikenali (UFO) sebelum objek terbabit hilang.
Pengawal keselamatan tersebut, Mahmood Hamid, 65, berkata dia ternampak pemandangan matahari terbenam luar biasa ketika melalui jambatan yang menghubungkan Pinang Tunggal Kedah dan Pulau Pinang kira-kira jam 7 malam kelmarin.
"Cahaya itu nampak cantik, jadi saya rakamkan gambarnya. Lepas itu, bila dongak semula, saya nampak ada objek macam piring terbang di lokasi sama," katanya memetik laporan Sinar Harian.
Tambahnya lagi, kerana tidak bersedia menerima kejutan itu, dia hanya dapat mengambil gambar bahagian sisi objek itu.
"Objek ini sangat besar, menutupi jambatan dan sungai. Seakan tak percaya dengan apa yang saya nampak.
"Saya pernah dengar cerita mengenai UFO dan sangka ia sekadar dongeng atau rekaan fiksyen. Tapi, bila lihat dua gambar yang saya ambil, objek itu memang wujud," katanya.
Memperincikan apa yang dilihatnya, dia menyatakan objek itu mempunyai dua corong udara.
"Satu daripada corong itu hasilkan kabus warna ungu yang sangat cantik," katanya.
Seorang lagi lelaki, Arifin Azin, 53, turut mendakwa dia pernah melihat objek yang sama ketika dia berusia lima tahun di Kampung Pengkalan Semeling.
"Objek setinggi 0.5 meter itu datang dekat hingga saya cuba untuk tangkap. Tapi tak berjaya dan ia hilang di kawasan hutan," katanya.
Ingin mencari kesahihan apa yang dilihat, rakan mereka, Md Shah Ismail, 59 cuba melihat beberapa contoh rujukan maklumat seperti UFO yang dipaparkan.
“Berdasarkan bahan bacaan yang ditemui, lebih 140 kes kemunculan UFO di Semenanjung Malaysia dalam tempoh 30 tahun sekitar 1981 hingga 2008.
"Tanjung Sepat dan Sungai Petani antara lokasi paling kerap ia muncul,” katanya -Siakapkeli.my
0 Response to "Pengawal Keselamatan Dakwa Berjaya Rakam UFO di Kedah"
Post a Comment